Please Give Me BackLink If You Want To Copy http://www.prince91.com/2011/08/tutorial-untuk-blog-letak-facebook.html#ixzz1XvVHKC1X Under Creative Commons License: Attribution

Selasa, 1 September 2015

BETAPA MISKINNYA KITA

Suatu hari, ayah dari keluarga yang sangat sejahtera membawa anaknya melawat ke sebuah negara yang sebahagian besar penduduknya hidup dari hasil pertanian, dengan niat untuk menunjukkan bagaimana kehidupan orang-orang yang miskin kepada anaknya.

Mereka menghabiskan waktu seharian di sebuah tanah pertanian milik keluarga yang kelihatan sangat miskin. Apabila pulang dari perjalanan tersebut, sang ayah bertanya kepada anaknya.

"Bagaimana perjalanan tadi?"

"Sungguh luar biasa, ayah"

"Kamu lihatkan bagaimana kehidupan mereka yang miskin?" tanya si ayah.

"ya, ayah" jawabnya.

"Jadi, apa yang dapat kamu pelajari dari perjalanan ini?"  tanya ayahnya lagi.

Si anak menjawab, "Saya melihat kenyataan bahawa kita mempunyai seekor haiwan peliharaan sedangkan mereka memiliki empat ekor.

Kita miliki sebuah kolam yang panjangnya hanya sampai ke tengah-tengah taman, sedangkan mereka memiliki sungai kecil yang tak terhingga panjangnya.

Kita memasang lampu taman yang dibeli dari luar negeri dan mereka memiliki bintang-bintang di langit untuk menerangi taman mereka.

Beranda rumah kita begitu lebar mencapai halaman depan dan milik mereka seluas horizon.

Kita tinggal dan hidup di tanah yang sempit sedangkan mereka mempunyai tanah sejauh mata memandang.

Kita memiliki pelayan yang melayani setiap keperluan kita tetapi mereka  melayani diri mereka sendiri.

Kita membeli makanan yang akan kita makan,tetapi mereka menanam sendiri.

Kita mempunyai dinding indah yang melindungi diri kita dan mereka memiliki teman-teman untuk menjaga kehidupan mereka."

Dengan cerita tersebut, si ayah tidak dapat berkata apa-apa.

Kemudian si anak menambah,

"Terima kasih ayah, akhirnya saya tahu betapa miskinnya diri kita."

Jumaat, 28 Ogos 2015

AL-QURAN SEBAGAI PEMBELA DI HARI AKHIRAT


Abu Umamah r.a. berkata : "Rasulullah S.A.W telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Qur'an, setelah itu Rasulullah S.A.W memberitahu tentang kelebihan Al-Qur'an."
Telah bersabda Rasulullah S.A.W : Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."
Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?"

Maka berkata Al-Qur'an : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."
Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu : "Adakah kamu Al-Qur'an?" Lalu Al-Qur'an mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.
Pada kedua ayanh dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?"
Lalu dijawab : "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

Ahad, 16 Ogos 2015

Ulama' vs Pramugari


Seorang ulama' sedang berada di dalam sebuah kapal terbang untuk ke  sebuah negeri. Apabila tiba waktu solat, dia pun ke tandas untuk berwudhu.
Oleh kerana tandas di dalam kapal terbang terlalu kecil, maka beliau terpaksa membuka pintu tandas itu ketika berwudhu. Tatkala beliau mengangkat salah satu dari kakinya ke tangki (washing basin), seorang peramugari telah  ternampak perbuatan ulamak itu dan menegurnya.

Peramugari    : Tuan tidak boleh memasukkan kaki ke dalam tangki tu, sebab ia
 akan mengotorkan tangki. (dengan suara yang dikeraskan..)

Ulama'           : (dengan suara lembut dan penuh rendahdiri...) Berapa kali
                         saudari mencuci muka saudari dalam satu hari?

 Peramugari  
: (dengan sifat angkuh...) Kebiasaannya sekali atau dua kali dalam
 sehari.

Ulama'           : (Dengan bersahaja) Saya mencuci kaki saya lima kali dalam
 sehari..Ini bermakna kaki saya lebih bersih dari muka saudari

Sabtu, 15 Ogos 2015

Rasulullah SAW dengan sebiji limau.

"Suatu hari Rasulullah s.a.w. didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya.Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah s.a.w. seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah s.a.w. akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah s.a.w. terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah s.a.w. itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah s.a.w. menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya." Begitulah akhlak Rasulullah s.a.w.. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah s.a.w.

Rabu, 12 Ogos 2015

ADIK



Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah. Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar. Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu, cuma tunduk memandang lantai. "Baik, kalau tak mengaku, dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku. Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata,

"Saya yang ambil!" Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut: "Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?" Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata, "Jangan menangis kak, semuanya dah berlalu!". Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti. Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!" "Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak. "Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. "Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!" Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam. Panggggg....sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis."Kenapa kamu ni?Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!" "Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak. "Kakak perempuan...biarlah kakak yang berhenti." Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Diatas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat..... "Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak." Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa : "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!" "Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?" Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!" Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?" Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik. Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata." Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak." Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu. "Emak, tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik." "Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka." Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan."Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya. "Tak....Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."Apalagi...aku menangis seperti selalu.
Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik. "Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik. "Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk. "Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya. Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada.

Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?" Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya...." katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati. "Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar."Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila." Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

10 JENIS SOLAT YANG TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH S.W.T




Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barang siapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya." (Tabyinul Mahaarim)

Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa : "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya :

1.    Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.

2.    Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.

3.    Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.

4.    Orang lelaki yang melarikan diri.

5.    Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).

6.    Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.

7.    Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.

8.    Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.

9.    Orang-orang yang suka makan riba'.

10.  Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah."

Hassan r.a berkata : "Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk."

Isnin, 30 Mac 2015

DOA SI SEPET YANG MAKBUL


Satu ketika di zaman seorang Khalifah berlaku kegawatan ekonomi yang meruncing. Keadaan menjadi semakin gawat apabila tumbuhan tidak menjadi. Hujan sudah tidak turun selama beberapa bulan.  Pemerintah mencanangkan agar semua rakyat turun ke padang untuk solat istisqa' dan berdoa agar Allah menurunkan hujan.  Namun hujan tidak turun juga. Khalifah menjemput ramai ustaz, tok guru dan para abid yang berpengaruh serta mempunyai ikutan yang ramai, untuk bersama-sama berdoa kepada Allah; tetapi keadaan masih tidak berubah. 

Khalifah menjadi semakin khuatir apabila kemarau kian berpanjangan. Baginda berusaha mencari orang yang mustajab doanya untuk tampil ke depan bagi mengimami solat pinta hujan. Akhirnya tampil seorang lelaki yang kelihatan selekeh dengan pakaian yang comot dan rambut yang kusut berjumpa  Khalifah. "Ya khalifah! Saya datang untuk menyahut seruan tuanku." Khalifah macam tak begitu yakin melihat pemuda yang comot itu. "Benarkah kamu ini? Sedangkan ramai para ulamak dan abid yang terkenal tidak dimakbulkan Allah doanya, inikan pula kamu yang begini?". Pemuda itu menjawab, "Insyallah doa kita akan dikabulkan!". 

Pemuda itu terus mengimami sembahyang bersama rakyat dan berdoa. Belum pun habis doanya, dengan tidak diduga hujan  turun mencurah-curah dengan lebat. Khalifah segera bertanya, "Wahai pemuda, cuba kamu ceritakan kepada beta apa amalan kamu sehingga doamu diperkenankan Allah." Pemuda itu menceritakan "Pernah semasa muda dulu, saya begitu asyik melihat wajah seorang gadis ayu. Saya terpesona dengan kecantikannya sehingga saya terlalai dari mematuhi perintah Allah. Saya menyesal atas kejahatan saya itu dan merobek-robek muka saya hingga tanpa disedari biji mata saya terkeluar dari rongganya. Sebab itulah mata saya menjadi sepet.  Saya bertaubat dari kejahatan itu dan terus mengabdikan diri kepada Allah." Khalifah mengucapkan terima kasih  dan terus sujud syukur kepada Allah. 
     
     

MORAL :

~     Allah menurunkan  bala sebagai peringatan kepada hamba-hambanya atas dosa yang dilakukan.

~      Kehendak Allah mengatasi segala. 

~     Allah menyayangi orang yang bertaubat sehingga apa saja doanya dikabulkan Allah.
~     Allah sayang kepada seseorang bukan kerana rupa dan sifat lahiriahnya, tetapi kerana sifat ubudiah dan ketaqwaannya.

~     Untuk mengatasi apa jua masalah yang menimpa, Allah menganjurkan kita supaya kembali kepadaNya. 

~     Jangan memandang orang dari sifat lahiriahnya tetapi lihat dari segi  amalan dan ketaqwaanya kepada Allah.

Khamis, 19 Mac 2015

NASIHAT DAN PEPATAH LAMA CINA..

Seorang wanita tua Cina mempunyai dua bekas pasu air, yang digantung di setiap penjuru galah yang dibawanya.

Salah satu pasu tersebut telah retak sedikit sementara pasu yang lagi satu masih elok dan selalu dapat mengisi air dengan penuh.

Pada akhir perjalanan yang jauh dari sungai ke rumahnya, pasu yang retak tersebut hanya dapat sampai dengan separuh penuh air sahaja.

Keadaan ini berlaku setiap hari selama dua tahun, wanita tua itu hanya dapat membawa satu setengah pasu air sahaja.

Semestinya, pasu yang sempurna tersebut sangat berbangga dengan pencapaiannya.

Di sebaliknya, pasu yang retak itu sangat malu dengan ketidaksempurnaannya, dan berasa sedih kerana ia hanya mampu membawa separuh air daripada sepatutnya. 

Setelah 2 tahun berlalu dengan kepahitan dan kegagalan, pasu retak tersebut berbual dengan wanita tua itu di tepi sungai. 

“Aku rasa sangat malu dengan diriku, kerana diriku yang retak ini menyebabkan air tertumpah di sepanjang perjalanan ke rumahmu”  

Wanita tua itu tersenyum, “Sedarkah kamu akan bunga-bunga di bahagian laluan kamu, tetapi tidak di laluan pasu yang lagi satu?”  

“Itu kerana aku selalu menyedari kekurangan dirimu, oleh itu, aku telah menyemai benih-benih bunga di bahagian laluan kamu. Setiap hari apabila kita pulang dari sungai, tanpa kamu sedari, kamu telah menyiram benih-benih bunga itu.  

“Selama dua tahun, aku berpeluang untuk memetik bunga-bunga yang cantik ini untuk menghiasi meja”

“Sekiranya kamu tidak menjadi dirimu sendiri, mungkin tiada keindahan sebegini di rumah ini.”


Setiap kita mempunyai kekurangan yang tersendiri..

Tetapi, keretakan dan kekurangan kita itulah yang menjadikan perkongsian hidup kita sangat menarik dan bermanfaat.


Anda perlu menerima setiap manusia seadanya dan melihat kebaikan di dalam diri mereka.


Kepada semua sahabatku yang tidak sempurna, moga hari anda ceria dan ingatlah untuk mencium bau bunga-bungaan di laluan anda.

Sebarkan mesej ini kepada sahabat-sahabat anda yang mempunyai pelbagai kekurangan… 

Dan Allah mengetahui berapa banyak sahabat-sahabat kita seperti itu..